• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Translate

Kesengsaraan anak-anak Palestin

NEMA tercampak setinggi bangunan apartmen dua tingkat ketika kediamannya diserang roket udara Israel.

FADI ABU AL-FOUL mengingati kembali saat serangan udara dilancarkan Israel menyebabkan anaknya, Ne’ma berusia dua tahun berterbangan umpama patung. “Dia terpelanting setinggi bangunan dua tingkat sebuah apartmen,” katanya.

Insiden berkenaan menyebabkan kanak-kanak malang tersebut cedera parah, retak pada bahagian hidung, dahi dan mata yang bengkak sehingga kehitaman. Anak kecil itu dikejarkan ke Hospital Al-Shifa di bandar Gaza.
Mujur atas kuasa Allah, Abu Al-Foul, 32, dan isteri, Dunia, 21, menerima khabar gembira daripada pihak hospital bahawa keadaan anak mereka bakal kembali normal.
Ramai lagi kanak-kanak yang menjadi mangsa kerakusan serangan tentera Zionis di kawasan penempatan Palestin.
Namun malang menimpa Ne’ma kerana dia cedera ketika berlindung di kediamannya ketika Israel melancarkan serangan udara di Palestin.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qedra berkata, jumlah kanak-kanak yang terbunuh meningkat pada 8 Julai lalu sehingga mencecah 154 kanak-kanak.
Beliau berkata, peningkatan kematian dalam kalangan kanak-kanak disebabkan oleh serangan bom udara Israel menyasarkan keseluruhan kawasan penempatan Palestin.
“Mereka memusnahkan rumah yang mempunyai keluarga seorang bapa, ibu dan anak. Siapa sahaja dalam kediaman itu pasti terkorban. Ia amat dikesali,” kata al-Qedra ketika ditemui di Hospital Al-Shifa.
Menurut laporan, dalam pertempuran antara pejuang Hamas dan tentera Israel itu, seramai 1,250 kanak-kanak tercedera.
Kira-kira 700 rakyat Palestin terbunuh dan jumlah kanak-kanak yang terkorban dalam serangan Israel itu hampir sama pada Disember 2008. Dalam tempoh tiga minggu itu 354 kanak-kanak dipercayai terbunuh daripada 1,400 rakyat Palestin yang syahid.
Jenayah perang
Kumpulan Hak Asasi Manusia dan tindakan Gaza memberitahu tentera Israel sengaja menyasarkan penempatan awam Palestin manakala liga Arab pula menyifatkan serangan itu sebagai jenayah perang secara terbuka.
Para pemerhati berpendapat jumlah kematian kanak-kanak dan mereka yang cedera melebihi pertarungan selama lapan hari pada tahun 2012 yang menyebabkan 34 kanak-kanak terbunuh daripada 180 yang syahid.

PEPERANGAN antara pejuang Hamas dan Israel turut menyebabkan bayi tercedera.

“Israel menggunakan sepenuhnya senjata mereka dengan kemusnahan yang sukar digambarkan. Ia mampu memusnahkan rumah walaupun setinggi empat tingkat dan membelah tubuh manusia,” kata penyelidik pertahanan antarabangsa kanak-kanak di Geneva.
Bagaimanapun doktor berkata, kecederaan yang dialami kanak-kanak tersebut lazimnya disebabkan oleh anggota badan yang dihempap bangunan. Antaranya bahagian kepala, tubuh badan yang patah dan kecacatan anggota badan.
Seorang pakar bedah pediatrik, Nabil al-Haddad berkata, ramai kanak-kanak yang meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Tambahnya, majoriti kanak-kanak tersebut gagal meneruskan kehidupan kerana serangan peluru yang mengandungi ribuan jarum menembusi tubuh mereka.
“Peluru tersebut hanya menyiksa mereka dan tidak membunuh dengan pantas. Kami cuba sedaya upaya menyelamatkan mereka dengan operasi pembedahan. Jika mereka hidup sepanjang dibedah mereka tetap akan mati selepas itu,” katanya.
Ujarnya, jarum tersebut tidak pernah dilihat termasuk ketika berkhidmat pada tahun 2008 hingga 2009 dan pertempuran pada tahun 2012 serta dua kebangkitan kira-kira 25 tahun lalu.
Mangsa
Laporan daripada sebuah akhbar Britain pada Ahad lalu menyatakan, Israel sedar kesan daripada peluru tersebut yang mengandungi ribuan jarum sepanjang kira-kira empat sentimeter itu.
Walaupun penggunaannya tidak dilarang mengikut undang-undang antarabangsa, pergerakan hak asasi manusia Israel, B’Tselem memberitahu media bahawa penggunaan senjata itu melanggar undang-undang.
Kumpulan itu berkata, senjata itu amat tepat mengenai sasaran dan tidak membezakan antara pejuang dan bukan pejuang.
Jumlah kematian di Gaza mungkin lebih tinggi berbanding laporan sedia ada. Hal ini kerana terdapat mayat yang mati bagi kedua-dua belah pihak tidak dituntut.
Shujaieh timur Gaza yang diserang Israel pada Ahad lalu menyaksikan pertempuran Hamas dan Israel sehingga menyebabkan ribuan rakyat mati dan lari meninggalkan harta serta insan yang mereka sayangi.
Antara mangsa ialah mayat keluarga Besan Dhaher yang berusia lapan tahun masih di bawah runtuhan kediaman mereka di Shujaieh.
Terbaring kaku di hospital dengan mukanya terbakar dan bengkak selain dia masih belum mengetahui keadaan sebenar yang menimpa keluarganya.
“Dia sudah terlalu banyak menderita,” kata penjaga Heba Dhaher, 30, yang memikul tanggungjawab menjaga Besan.
Heba khuatir memikirkan kaedah untuk menyampaikan berita kematian keluarganya terutama kakaknya Narmen yang berusia 11 tahun.
“Mereka terlalu rapat dan sering menghabiskan masa bersama,” katanya.
Keadaan meruncing di Palestin menimbulkan tekanan psikologi dalam kalangan kanak-kanak terutama trauma dengan perang yang tidak pernah henti di bumi Palestin itu. – AGENSI