• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Translate

Tips Didik Anak Cara Rasulullah

Era moden ini, didik anak cara Rasulullah selalu dilupakan. Zaman gajet yang serba canggih ini memerlukan ibu bapa yang bijak dalam mendidik anak-anak. Berbalik kepada ajaran Islam, kita perlu didik anak cara Rasulullah SAW. Kita tidak mahu nilai-nilai murni yang sepatutnya kita tanamkan dalam diri mereka, dibajai dan disirami unsur-unsur yang boleh melemahkan serta menghasilkan tanaman yang tidak berkualiti. Maka ramai kini ibu bapa prihatin yang tercari-cari teknik terbaik mendidik anak-anak.
Di barat, teknik keibubapaan yang sedang popular adalah Keibubapaan Positif atau Positive Parenting.
Apakah yang dimaksudkan dengan Positive Parenting?
Dr Laura Markham, seorang pakar keibubapaan barat mengatakan bahawa:
Positive Parenting – sometimes called positive discipline, gentle guidance that keeps our kids on the right path, offered in a positive way that resists any temptation to be punitive. Studies shows that’s what helps kids learn consideration and responsibility and makes for happier kids and parents.
Positive Parenting memberi makna ibu bapa mengendali dan mendidik anak itu dengan cara yang paling baik. Tidak melibatkan pukulan, jeritan, penghinaan dan pelbagai tindakan negatif yang boleh melemahkan anak dan menjadikan anak lebih cenderung untuk mempunyai masalah.
Dalam Islam, teknik mahupun cara mendidik anak-anak telah lama ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Kita tidak perlu pergi jauh untuk mengetahui cara yang paling baik untuk mendidik anak. Islam sendiri telah menyediakan contoh terbaik dalam pendidikan anak-anak. Dr Abdullah Nasih Ulwan, yang lebih dikenali sebagai bapa pendidikan Islam ada menggariskan tentang cara-cara mendidik anak-anak dari sebelum berkahwin lagi mengikut panduan yang telah ditunjukkan Nabi Muhammad s.a.w.
Dapatkah kita membayangkan anak-anak yang kita tarbiyyah itu membesar dengan begitu baik sekali. Mereka menghormati orang tua, mengerjakan solat, puasa, cemerlang di dalam akademik dan sebagainya. Bukankah itu suatu ketenteraman buat kita sebagai ibubapa? Kita akan sentiasa merasa tenang dan bahagia.
 Namun cuba kita bayangkan, jika anak-anak itu menjadi seorang pemberontak di rumah dan di sekolah, melawan, berlumba di jalanan, berpeleseran dan berfoya-foya. Tentu kita akan rasa tertekan serta gelisah. Jadi, bagaimana kita berperanan dengan sebaiknya bagi memastikan anak-anak yang Allah amanahkan ini menjadi saksi dan pembela di akhirat nanti?
 a) Mendidik melalui contoh tauladan yang baik.
 Antara cara mendidik yang sangat berkesan adalah dengan memberi dan menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada anak-anak. Contoh-contoh tauladan yang baik banyak melengkapkan anak-anak dengan akhlaq yang baik dan membentuk rohani serta sosialnya.
 Contoh tauladan yang baik di rumah adalah yang paling hampir dengan anak-anak. Jika contoh yang dilihat dan dipamerkan adalah tauladan yang baik, maka akhlaq yang bakal dipamerkan oleh anak juga adalah akhlaq yang baik. Namun jika contoh yang ditunjukkan di rumah adalah contoh buruk dan tidak elok untuk pembangunan akhlaq anak-anak maka tidak hairanlah jika di luar rumah, mereka mempamerkan akhlaq sebegitu juga.
Rasulullah sebagai contoh yang utama
Pernahkah kita menceritakan tentang hebat serta cantiknya akhlaq Rasulullah s.a.w kepada anak-anak?
Ingatkah kita tentang cerita Rasulullah s.a.w dan Saidina Abu Bakar ketika mereka bersembunyi di Thur? Cerita hebat tentang baiknya akhlaq Rasulullah dan  sahabat baginda boleh dijadikan contoh buat anak-anak. Begitu juga kisah akhlaq Rasulullah s.a.w ketika berhadapan dengan seorang wanita yang selalu mengganggu baginda. Duduk dan berceritalah dengan anak-anak.
Allah telah berfirman:
” Sesungguhnya bagi diri kamu dari Rasulullah itu contoh tauladan yang baik. ” (Al-Ahzab:21)
Berapa ramaikah di kalangan kita dan anak-anak yang menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai contoh tauladan? Tidak menghairankan jika hari ini kita mendengar anak-anak menjadikan artis dan superhero televisyen sebagai idola mereka. Kita sebagai ibubapalah yang sepatutnya membentuk pendirian mereka agar tahu memilih siapakah yang wajar dijadikan contoh tauladan.
Mendidik dengan cara pemerhatian dan pengawasan
Sudah menjadi tanggungjawab ibu dan bapa untuk sentiasa mengawasi dan memerhatikan anak-anak mereka. Lihatlah apa yang terjadi keapada anak-anak yang dibiarkan begitu sahaja tanpa pengawasan dan pemerhatian. Mereka akan berkawan dengan sesiapa sahaja dan berpeleseran. Maka timbullah mat rempit, bohsia bohjan, dadah, rokok dan sebagainya.
Allah berfirman:
” Suruhlah ahlimu (keluargamu) supaya bersembahyang, dan bersabarlah atas mengerjakannya. ” (Taha:132)
Apakah yang ingin kita perhatikan?
  1. Memerhatikan solat anak-anak
  2. Memerhatikan pembelajaran anak-anak terutamanya dalam mempelajari al-Qur’an
  3. Memerhatikan pergaulan anak-anak
  4. Memerhatikan tahap kesihatan anak-anak

Diceritakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w amat berlemah lembut dengan anak-anak kecil dan menyantuni mereka dengan cara yang paling baik. Baginda selalu bergurau dan bermain dengan anak-anak kecil terutama cucu-cucu baginda iaitu Hassan dan Hussin.
Ia disebut di dalam riwayat yang masyhur, Rasulullah pernah lama sekali berada di dalam sujudnya. Maka salag seorang sahabat baginda bertanya, “ Wahai Rasulullah, sesungguhnya anda lama sekali sujud, hingga kami mengira ada sesuatu kejadian atau anda sedang menerima wahyu.
Nabi Muhammad s.a.w menjawab, “ Tidak ada apa-apa. Tetaplah aku ditunggangi oleh cucuku, maka aku tidak mahu tergesa-gesa sampai dia puas. “ Ada pun anak yang dimaksudkan ialah Hassan atau Hussin.
Persoalannya, apakah yang terbaik untuk kita lakukan jika anak membuat sesuatu kesalahan? Apakah Islam hanya membenarkan berlemah lembut dan sama sekali tidak membenarkan pukulan atau denda terhadap anak?
Di dalam pendidikan anak-anak yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w, peringkat berikut telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w:
  1. Kesalahan anak hendaklah ditangani dengan sikap berlemah lembut dan penuh belas kasihan. Imam Al-Bukhari telah meriwayatkan di dalam Al-Adab Al-Mufrad, sebuah hadith berbunyi:
“ Hendaklah anda bersifat lemah lembut, dan jangan sekali-kali bersikap keras dan jahat.”
  1. Kesalahan anak ditangani dengan mengambil kira sikap atau pun tabiat anak tersebut. Setiap anak mempunyai sikap yang berlainan. Mereka mempunyai karektor tertentu dan berbeza di antara satu dengan yang lain.
Ada sesetengah ulama’ pendidikan Islam, seperti Ibnu Sina, Al-Abdari dan Ibnu Khaldun mengatakan bahawa tidak diharuskan untuk menjatuhkan hukuman kepada anak-anak kecuali pada saat yang benar-benar perlu. Mereka juga berpendapat bahawa tidak boleh memukul kecuali sesudah diingatkan dan diancam atau meminta orang lain untuk mengingatkan tentang kesalahan tersebut.
  1. Kesalahan anak hendaklah ditangani secara berperingkat. Hukuman tidak semudah itu dijatuhkan. Seorang ibu dan bapa punya tanggungjawab yang besar untuk mendidik anak-anak. Mereka mestilah dibekalkan dengan contoh tauladan yang baik di dalam persekitarannya terlebih dahulu. Jika peringkat ini tidak dapat disediakan oleh ibu dan bapa, maka tidak boleh anak itu dihukum dengan hukuman yang berat.
Abu Daud dan Al-Hakim telah meriwayatkan daripada Umar bin Syu’aib daripada ayahnya, daripada datuknya, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Suruh anak-anak kamu mengerjakan sembahyang, ketika umurnya tujuh tahun, dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang, apabila telah mencapai umur sepuluh tahun dan pisahkanlah mereka dari tempat tidur.”
Di dalam hadith di atas, memang jelas menunjukkan bahawa Islam tidak melarang untuk memukul namun untuk sampai ke peringkat itu anak perlu melalui peringkat pemahaman dan mengenali contoh yang baik. Memukul adalah cara terakhir di mana ibu bapa sudah berputus asa dalam memperingatkan dan memberi nasihat.
Semoga kita diberikan kekuatan dalam mentarbiyyah anak-anak kerana merekalah pewaris Al-Qur’an yang bukan sahaja membaca tetapi mengamalkan isi kandungannya.

KE LAMAN UTAMA...>>>