• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Translate

Gaza sedang mati dalam senyap?

Ketika kita disibukkan dengan konflik Syria dan rampasan kuasa di Mesir, ramai terlupa memberikan keprihatinan mengenai situasi  di Gaza. Gaza sedang berjuang untuk meneruskan kelangsungan hidup bagi mendapatkan  keperluan paling asas untuk rakyatnya seperti makanan, ubatan dan bahan api.

Sejak rampasan kuasa oleh Jeneral Abdul Fatah al Sisi, Gaza berhadapan dengan sekatan  yang tidak berperikemanusiaan, suatu hukuman kolektif yang merupakan perlanggaran hak asasi manusia kepada undang-undang antarabangsa.

Sekatan yang berlaku sekarang seolah-olah ingin menjerat negara itu dan penduduknya sehingga mati. Seorang rakan saya, Hamza Deirawi memberitahu, Gaza sedang berhadapan dengan kesukaran dan kesusahan paling buruk sejak kepungan.

“Mereka yang sakit meninggal dunia di sempadan kerana cuba mendapat rawatan keluar, malah baru-baru ini seorang bayi lelaki meninggal dunia di sempadan selepas lahir kerana tidak dibawa ke hospital.”

Semasa berada di Gaza, saya dapati walaupun Israel tidak menguasai dan menjajahi Gaza tetapi mereka masih mengawal jalan keluar dan masuk melalui  ruang udara, laut dan darat. Malah nelayan dibenarkan menangkap ikan di kawasan  sekitar 5 km jika tidak mereka akan dibunuh dan tangkapan mereka akan dirampas.

Sekatan itu telah menghentikan pembinaan semula dan pemulihan beribu rumah, sekolah,  hospital dan rangkaian bekalan air. Ekonomi yang lumpuh ini meningkatkan  pergantungan penduduk kepada bantuan luar.

Lebih buruk, tindakan bersekongkol antara pihak berkuasa tentera Mesir dan Israel telah menyukarkan keadaan. Semasa Mesir di bawah pemerintahan demokratik Presiden Dr  Muhamad Morsi pintu masuk di sempadan dibuka kepada kemasukan bantuan asing.

Rejim tentera Mesir yang berkuasa sejak 3 Julai lepas kini menjalankan kempen bermusuhan dengan penduduk Palestin. Junta tentera beranggapan penduduk Palestin dan kerajaan Hamas bersubahat dengan Morsi menentang tentera dan mengancam serta  menggugat keselamatan Mesir, terutama di Semenanjung Sinai.

Kempen menghasut sedang dijalankan di beberapa media Mesir terutama yang dibiayai ahli perniagaan yang dikaitkan dengan rejim Mubarak dan beberapa negara Teluk. Mereka menegaskan bahawa Hamas turut campur tangan dalam hal ehwal dalaman Mesir dan menggesa Tentera Mesir melancarkan serangan tentera ke atas  Semenanjung Gaza.

Tiada bukti ditemui berhubung penglibatan rakyat Palestin di Mesir termasuk Sinai.  Malah jika ada pun, hukuman kolektif pihak berkuasa Mesir  dikenakan ke atas  rakyat Palestin di Gaza telah mencabuli undang-undang antarabangsa.

Perlu diingatkan, Mesir tidak pernah mengenakan sebarang sekatan terhadap  rakyat Isreal mengunjungi Mesir walaupun lima rakyat Mesir terbunuh dalam  serangan udara oleh Israel pada 2011.

Menurut Presiden Mapim, Azmi Abdul Hamid, keadaan teruk di Gaza ini  menyebabkan Mapim mengambil daya usaha dan inisiatif bagi menerbitkan laporan  mengenai keadaan kemerosotan kemanusiaan di Gaza selepas rampasan kuasa di Mesir.

Mapim menyokong laporan ini oleh penyelidik yang bukan hanya sebagai dokumen bukti menunjukkan tindakan ganas tidak berperikemanusiaan terhadap penduduk awam tetapi juga satu pencabulan undang-undang antarabangsa yang melayakkan komuniti antarabangsa berhak untuk bertindak terhadap kezaliman oleh Mesir dan Israel serta menuntut agar sekatan ke atas Gaza ditarik balik.

* Penulis ialah Timbalan Dekan Fakulti Komunikasi dan Media, Unisel Kampus Shah Alam.
KE LAMAN UTAMA...>>>